Cabaran ketujuh dalam Wawasan 2020 ialah mewujudkan masyarakat penyayang (caring society) dan budaya penyayang dalam kalangan masyarakat Malaysia. Y.A.B. Dr Mahathir mentafsirkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang sebagai sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi sekeliling keluarga yang kukuh. Dengan kata lain, masyarakat penyayang ialah masyarakat yang hidup bermuafakat dengan anggota-anggotanya yang mesra dan bertimbang rasa. Setiap orang saling faham-memahami dan hormat menghormati iaitu yang muda menghormati yang tua dan yang tua mengasihi yang muda.
Membentuk masyarakat penyayang merupakan satu metodologi yang relevan dan mantap bagai membentuk rakyat Malaysia yang bersatu padu dalam jangka masa yang panjang. Ia boleh dianalogikan sebagai akar pepohon besar yang mencengkam tanah dan mampu berdiri teguh.